Site icon TUHAU BAMBANGAN

Lelaki ada rekod jenayah ditahan, disyaki terlibat kes tetak orang di Tanjung Batu

Tawau: Polis menahan seorang lelaki yang mempunyai rekod jenayah lampau kerana disyaki terlibat dalam kejadian menetak seorang mangsa di kawasan Tanjung Batu, Tawau, dalam satu operasi yang dijalankan berhampiran Hospital Tawau baru-baru ini.

Polis Tawau dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa dalam kejadian itu dilaporkan mengalami kecederaan selepas diserang oleh seorang lelaki tidak dikenali sebelum mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Tawau.

“Kejadian tersebut turut membawa kepada satu laporan polis yang telah dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan.

“Sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bertindak pantas mengesan suspek dan berjaya menahannya di kawasan Hospital Tawau tidak lama selepas laporan diterima.

“Suspek kemudiannya dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif serta penglibatannya dalam serangan tersebut,” jelas kenyataan itu di sini, hari ini.

Hasil semakan rekod mendapati suspek pernah disiasat dan dihukum atas kesalahan jenayah dan dadah sebelum ini.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan, masing-masing kerana menyebabkan kecederaan secara sengaja dan menyebabkan cedera menggunakan senjata.

Exit mobile version