Kuala Lumpur: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa rejim Zionis Israel supaya membebaskan dengan segera semua aktivis dan sukarelawan Malaysia serta antarabangsa yang ditahan selepas konvoi kemanusiaan Global Sumud Flotilla dipintas ketika dalam perjalanan ke Gaza.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya, Perdana Menteri menegaskan bahawa misi tersebut membawa bantuan kemanusiaan penting serta orang awam tidak bersenjata, justeru tindakan Israel itu adalah pencabulan jelas terhadap hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.
“Saya menggesa agar semua aktivis serta sukarelawan Malaysia dan antarabangsa dibebaskan dalam kadar segera! Ini sebuah misi kemanusiaan yang membawa orang awam tidak bersenjata bersama bantuan yang amat diperlukan oleh rakyat Gaza,” tegasnya.
Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan melakukan segala yang terbaik untuk membebaskan rakyat Malaysia yang kini berada dalam tahanan pihak Israel.
“Malaysia akan mengambil segala langkah yang sah dan berasaskan undang-undang bagi menuntut pertanggungjawaban Israel, khususnya apabila warganegara kita terlibat. Keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan serta kita tidak akan sama sekali bungkam tatkala hak dan maruah mereka dicabuli,” ujarnya.
Anwar turut mengecam tindakan Israel menyekat misi kemanusiaan tersebut, yang menurutnya bukan sahaja memperlekeh hak rakyat Palestin tetapi juga mencemari nurani masyarakat antarabangsa.
“Dengan menyekat misi kemanusiaan ini, Israel bukan sahaja memperlekeh hak asasi rakyat Palestin, malah telah menginjak nurani masyarakat dunia yang kini tidak lagi bersama Israel,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Global Sumud Flotilla bukan sekadar konvoi bantuan, tetapi simbol perpaduan, solidariti dan kasih sayang kemanusiaan sejagat terhadap penderitaan rakyat Gaza yang terus hidup dalam kepungan zalim.
“Flotila tersebut bukan sekadar konvoi bantuan, tetapi simbol perpaduan, solidariti dan kasih sayang umat manusia. Ia membawa sinar harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang terus dipaksa hidup melarat di bawah sekatan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan,” jelasnya.
Anwar menegaskan bahawa Malaysia tidak akan berganjak daripada pendirian tegasnya untuk terus membela hak dan aspirasi rakyat Palestin selagi kezaliman dan perampasan berterusan.
“Selagi hak dan aspirasi rakyat Palestin terus dinafikan, Malaysia kekal berdiri teguh dan tidak akan berundur daripada terus mendesak dan menuntut agar kezaliman dan perampasan yang telah berlarutan sejak sekian lama dihentikan,” katanya.

