Kota Kinabalu: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan keprihatinan mendalam terhadap penahanan dua anak Sabah, Zizi Kirana dan Sul Aidil, yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza, sambil menyeru seluruh rakyat negeri ini bersatu menunjukkan solidariti dalam mendukung usaha pembebasan mereka.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya hari ini, Hajiji menzahirkan rasa bangga terhadap keberanian kedua-dua sukarelawan tersebut yang sanggup menyertai misi kemanusiaan di kawasan bergolak.
“Kerajaan Negeri Sabah amat prihatin dan menzahirkan rasa kebimbangan terhadap penahanan saudari Zizi Kirana dan saudara Sul Aidil, anak Sabah yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza. Keberanian mereka amat membanggakan kita semua,” katanya.
Ketua Menteri turut menyatakan keyakinannya bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengambil langkah diplomatik terbaik bagi memastikan pembebasan segera semua sukarelawan yang terlibat dalam misi kemanusiaan tersebut.
Hajiji turut menyeru rakyat Sabah agar mengetepikan perbezaan agama, bangsa dan politik untuk berdiri teguh bersama dalam menghadapi situasi ini.
“Saya menyeru seluruh warga Sabah, tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, dan politik agar bersatu dalam memberikan solidariti terhadap perkara ini,” katanya.
Mengakhiri kenyataan, beliau turut mendoakan keselamatan serta pembebasan segera semua sukarelawan yang kini ditahan.
“Doa kita mengiringi keselamatan dan pembebasan mereka yang berjuang atas nama kemanusiaan,” tambahnya.

