Kota Kinabalu: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah memberi amaran tegas bahawa mereka akan meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekiranya gabungan itu meneruskan kerjasama pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, STAR tidak akan menyokong sebarang perjanjian pembahagian kerusi yang memberikan kelebihan besar kepada PH kerana ia bertentangan dengan aspirasi akar umbi.
Memetik laporan The Star, Jeffrey memaklumkan bahawa STAR hanya bersetuju sekiranya PH bertanding mempertahankan tujuh kerusi sedia ada yang dimenangi pada pilihan raya lalu.
Namun, beliau mendedahkan bahawa GRS kini dilaporkan sedang merancang untuk memberikan antara 21 hingga 23 kerusi kepada PH sebagai sebahagian daripada rundingan politik menjelang PRN17.
“Jika GRS tetap meneruskan kerjasama dengan PH, STAR tidak akan menyokong keputusan itu dan kami bersedia untuk keluar daripada gabungan,” tegas beliau.
Jeffrey turut menambah bahawa mesyuarat presiden GRS yang dijadualkan malam ini akan menjadi penentu kepada hala tuju kerjasama politik tersebut.
Beliau menegaskan bahawa STAR lebih rela bertanding secara bersendirian daripada tunduk kepada keputusan yang tidak mencerminkan suara rakyat Sabah.

