Site icon TUHAU BAMBANGAN

PRN17: Priscella Peter ganti bapa tanding di DUN Melalap

Kota Kinabalu: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) mengumumkan Priscella Peter, anak kepada bekas ADUN Melalap Datuk Peter Anthony, sebagai calon parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).

Memetik laporan Borneo Post, Priscella, yang juga Pemangku Presiden KDM berkata, pencalonannya bertujuan meneruskan perjuangan serta pembangunan yang pernah dibawa bapanya untuk rakyat Melalap.

“Ini bukan tugas mudah, tetapi semangat ayah dan kepercayaan rakyat Melalap memberi kekuatan kepada saya. Saya mahu memastikan kesinambungan kemajuan di kawasan ini,” katanya dalam sidang media di Kota Kinabalu.

Kerusi DUN Melalap menjadi kosong selepas Peter Anthony hilang kelayakan sebagai ADUN susulan sabitan kesalahan memalsukan dokumen dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 yang dikekalkan Mahkamah Rayuan.

KDM menegaskan pencalonan Priscella mencerminkan komitmen parti untuk kekal relevan dan berdaya saing meskipun berdepan cabaran politik semasa.

Parti itu yakin sokongan rakyat Melalap akan diterjemahkan dalam bentuk mandat baharu pada PRN17.

Exit mobile version