Site icon TUHAU BAMBANGAN

Remaja 18 tahun ditahan, curi telefon jemaah warga emas di Masjid Bandar Tawau

Tawau: Polis menahan seorang remaja tempatan berusia 18 tahun disyaki mencuri sebuah telefon bimbit milik jemaah di Masjid Bandar, Tawau, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku pada 23 September, kira-kira 1.15 tengah hari, ketika mangsa, seorang lelaki warga emas terlelap selepas solat Zuhur.

“Semakan rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki tidak dikenali mengambil peranti tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan anggota BSJD IPD Tawau menahan suspek di kaki lima bangunan kedai di Jalan Cole Adams sekitar 12.30 tengah hari semalam dan merampas sebuah telefon Realme dipercayai milik mangsa.

Siasatan awal mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan (tahun 2022 dan 2024).

Kes kini disiasat mengikut seksyen sama kerana mencuri dalam bangunan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

ACP Jasmin turut menasihatkan orang ramai agar tidak cuai di tempat awam, tidak meninggalkan barangan berharga tanpa pengawasan, serta segera melapor kepada polis jika mengesyaki aktiviti mencurigakan.

Exit mobile version