Lahad Datu: Polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 26 tahun selepas dipercayai terlibat dalam kejadian khianat memecahkan cermin kereta dan merosakkan bonet sebuah kenderaan di tempat letak kereta Jalan Singgamata, di sini pada pagi Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.43 pagi, seorang wanita berusia 27 tahun mendapati cermin depan kereta jenis Toyota Vios miliknya pecah dan bonet kemek selepas dibaling batu oleh suspek tidak dikenali.
Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Lahad Datu menjalankan operasi dan berjaya menahan suspek di sebuah bilik sewa di Bandar Lahad Datu tidak lama kemudian.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail, memaklumkan bahawa permohonan tahanan reman akan dibuat di Mahkamah Lahad Datu bagi membantu siasatan lanjut terhadap suspek.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pihak polis menasihati orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kejadian khianat atau jenayah kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan komuniti sentiasa terjamin.

