Kuching: Borneo disasarkan mencapai status bebas rabies menjelang tahun 2030 melalui pendekatan menyeluruh merangkumi kerjasama pelbagai pihak serta penggunaan teknologi digital dan inovasi kesihatan awam, kata Tan Sri Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah.
Bekas Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, strategi tersebut memberi penekanan kepada dua aspek utama, iaitu pendekatan “Whole of Government & Whole of Society” yang menyatukan semua pihak, dan penggunaan teknologi digital termasuk SuperApps serta kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh kesiapsiagaan sistem kesihatan serantau.
“Bersama matlamat yang dikongsi, program vaksinasi menyeluruh, dan penggunaan teknologi terkini, masa depan bebas rabies di Borneo adalah sesuatu yang mampu dicapai,” katanya dalam ucaptama pada Rabies in Borneo 2025 Conference di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) pada Selasa.
Beliau menegaskan bahawa pandemik COVID-19 telah memberikan pengajaran berharga dalam memperkukuh daya tahan sistem kesihatan agar lebih bersedia menghadapi kecemasan kesihatan di masa hadapan.
Beliau menyeru supaya pengalaman tersebut dijadikan asas untuk membina sistem kesihatan yang lebih tangkas, cekap dan bersepadu.
“Kita perlu memanfaatkan pengalaman COVID-19 untuk memperkukuh sistem kesihatan, menjadikannya lebih berdaya tahan dan bersedia untuk krisis akan datang,” jelasnya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi beliau.
Menurutnya, kejayaan membasmi rabies memerlukan kerjasama erat bukan sahaja antara sektor awam dan swasta, tetapi juga antara negeri-negeri di Borneo dan negara ASEAN, bagi memecahkan silo dan memperkukuh rangkaian tindakan kesihatan awam serantau.
Teknologi digital seperti SuperApps dan AI akan menjadi alat penting dalam memantau penularan, mengenal pasti zon berisiko tinggi dengan lebih tepat, serta membantu perancangan logistik vaksinasi secara strategik dan pantas.
“Alat digital dan AI akan menjadi ‘mata di lapangan’ untuk kita meramal wabak, memetakan risiko dengan tepat dan menyusun strategi respons yang berkesan,” katanya.
Persidangan Rabies in Borneo 2025 menghimpunkan pakar kesihatan awam, penggubal dasar, dan wakil-wakil serantau bagi membincangkan pendekatan bersama dalam membasmi rabies.
Dr Noor Hisham sekali lagi menegaskan bahawa kesatuan dan inovasi adalah kunci untuk mengatasi cabaran dan merealisasikan visi Borneo bebas rabies pada tahun 2030.

