Tambunan: Seorang lelaki berusia 44 tahun cedera selepas lori treler yang dipandunya terbabas sendiri di bahu jalan di Kilometer 57, Jalan Tambunan–Kota Kinabalu pada petang Selasa (30 Sept).
Menurut Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah, panggilan kecemasan berhubung insiden itu diterima pada jam 3.39 petang melalui talian balai.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan dengan kekuatan lapan anggota dikerahkan ke lokasi sejauh 56 kilometer dan tiba pada jam 4.11 petang.
Komander Operasi, PBK I Selverinus Sixtus Geoffrey berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah lori treler bermuatan barangan yang dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan.
“Mangsa berjaya keluar sendiri dari lori sebelum ketibaan pasukan bomba. Pasukan EMRS memberi rawatan awal di lokasi sebelum menghantar mangsa ke hospital menggunakan jentera EMRS Bomba,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Operasi dikendalikan oleh 8 anggota dengan menggunakan sebuah jentera FRT dan sebuah unit EMRS, dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.30 petang.

