Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner semalam (30 Sept) diberitahu bahawa Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir pernah meluahkan kata-kata mencurigakan berkaitan niat untuk terjun dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, beberapa bulan sebelum pelajar tingkatan satu itu ditemui tidak sedarkan diri di bawah asrama pada pagi 16 Julai lalu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Saksi Kanak-Kanak Kelapan (Deponen Ke-16) dalam prosiding hari ke-17 Inkues kematian Zara Qairina di pada Selasa.
Peguam mewakili pelajar A yang juga merupakan pihak berkepentingan dalam inkues ini, Datuk Ram Singh dan Joan Goh dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa, menurut saksi, kejadian tersebut berlaku sekitar April 2025 ketika hanya mereka berdua berada di hadapan dorm A3-5 asrama sekolah tersebut.
“Zara pernah berkata kepada saya, ‘bagaimana kalau saya terjun dari tingkat 3? Kau sedih ka?’ Saya jawab kenapa cakap begitu, itu tidak bagus. Lepas itu Zara diam dan terus melihat ke bawah dari koridor asrama dengan keadaan murung,” katanya, menurut kenyataan dari pasukan peguam pelajar A.
Saksi turut memaklumkan bahawa beliau tinggal sebilik dengan Zara di dorm A3-5 bersama 12 pelajar lain dan mengenali arwah sebagai rakan biasa.
Zara juga sering tidur di atas karpet di lantai kerana malas memasang cadar, namun tidak pernah menunjukkan tanda-tanda bermasalah atau sering menangis sebelum malam kejadian.
Saksi dalam prosiding semalam turut menceritakan bahawa pada malam 15 Julai 2025, Zara telah dipanggil ke bilik dorm sebelah (A3-6) oleh pelajar lain untuk berjumpa dengan pelajar senior berhubung kehilangan barang.
Selepas kembali ke dorm, Zara dilihat baring di lantai sambil menangis dan menjerit, “aku nda curi bah, sial.”
“Zara kelihatan terganggu selepas balik dari bilik senior. Dia menangis di depan almari, satu keadaan yang tidak pernah saya lihat sebelum ini,” jelas saksi.
Saksi juga menyatakan bahawa sebelum kejadian itu, Zara tidak pernah berjumpa senior Tingkatan Empat dan tiada sebarang konflik yang diketahui antara Zara dengan pelajar lain.
Menurut saksi lagi, Zara gemar menulis diari pada waktu petang dan malam di asrama, namun tidak pernah berkongsi kandungan atau mengadu masalah peribadi kepada rakan-rakan.
Saksi turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah melihat Zara diganggu, dibuli atau disentuh secara tidak senonoh oleh mana-mana pelajar sepanjang berada di asrama.
Prosiding inkues akan diteruskan pada 7 Oktober 2025 di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.

