Site icon TUHAU BAMBANGAN

Inkues Zara: Saksi dedah Zara tidak disukai kerana selalu catat nama pelajar tidak solat

Kota Kinabalu: Saksi kanak-kanak ke-7 mendedahkan dalam prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir hari ini bahawa arwah tidak disenangi sebahagian rakan asrama kerana sikapnya yang tegas mencatat nama pelajar yang tidak menunaikan solat berjemaah di musolla (surau).

Saksi yang memberi keterangan di Mahkamah Koroner hari ini dilaporkan berkata, Zara dikenali sebagai pelajar ceria, peramah dan bercita-cita menjadi Badar (Pengawas Surau).

Namun, menurut peguam keluarga Zara, Rizwandean M Borhan, perwatakan aktif Zara menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan segelintir pelajar.

“Ada juga pelajar yang macam tidak suka dengan perwatakan Zara. Kebanyakan pelajar lain yang tidak suka dengan Zara, kerana Zara ini mencatat nama pelajar yang tidak solat jemaah di musolla.

“Saksi mengatakan Zara menganggap seorang pelajar senior seperti kakak dia sendiri, dan Zara memberitahu pelajar tersebut merupakan ‘favourite senior’ dia,” jelas Rizwandean ketika ditemui media selepas selesai prosiding inkues di sini, hari ini.

Menurut saksi, pada malam 15 Julai 2025 kira-kira jam 10.20 malam, Zara datang ke dorm mereka untuk berjumpa seorang pelajar berhubung satu kes kehilangan barang. Zara kelihatan ketakutan ketika pertemuan itu berlangsung.

Beberapa minit kemudian, empat pelajar lain masuk ke dorm tersebut dan terus mendekati Zara yang sedang duduk bersila di lantai. Seorang daripada mereka menengking Zara dengan suara kuat serta mengeluarkan kata-kata kesat “Sial”, manakala pelajar lain turut menegurnya.

Saksi menggambarkan suasana ketika itu sebagai “garang” dan menyatakan penghuni dorm lain tidak berani menenangkan Zara yang sedang menangis.

Tambahnya lagi, semasa kejadian, beberapa pelajar lain turut memeriksa loker Zara dan menemui pin bendera milik pelajar lain di dalam begnya yang seterusnya menyebabkan kemarahan pelajar-pelajar terlibat semakin memuncak.

Exit mobile version