Site icon TUHAU BAMBANGAN

Bubar DUN: Mau-mau sudah ini – Armizan, rakyat perlu nilai calon Ketua Menteri berdasarkan rekod kawasan

Kota Kinabalu: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali memberi bayangan jelas bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan berlaku dalam masa terdekat, sambil menyeru rakyat supaya menilai calon Ketua Menteri yang bakal diketengahkan parti-parti politik berdasarkan rekod perkhidmatan mereka di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, pelbagai tarikh pembubaran kini tersebar termasuk 3, 4, 5, 13 dan 23 Oktober, namun perkembangan semasa menunjukkan ia sudah semakin hampir.

“Saya juga maklum ada mesej yang tular menyebut bahawa pembubaran akan berlaku pada 3 Oktober ini. Jadi sama ada 3 Oktober, 4 Oktober, 5 Oktober, 13 Oktober atau 23 Oktober, mau-mau sudah ni, dekat-dekat sudah,” katanya dalam sidang media pada Isnin (29 Sept).

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar, menegaskan bahawa salah satu aspek penting menjelang pilihan raya negeri ialah keupayaan rakyat menilai calon Ketua Menteri yang dikemukakan setiap parti secara objektif dan berdasarkan pencapaian sebenar.

“Bagi saya, salah satu penilaian penting yang rakyat perlu buat dalam melihat calon-calon potensi Ketua Menteri ini adalah melihat prestasi mereka di kawasan masing-masing. Sejauh mana mereka mampu merobah kawasan mereka sejak berpuluh tahun menjadi wakil rakyat,” tegasnya.

Beliau menambah, semua kawasan di Sabah mempunyai potensi besar, namun kemampuan seorang pemimpin diukur melalui keupayaannya mencungkil potensi tersebut untuk membangunkan sosioekonomi setempat, bukan hanya berdasarkan jawatan atau pengalaman politik.

Mengulas persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, Armizan berkata GRS berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya. Sebagai parti lokal, katanya, pemimpin GRS sentiasa bersama rakyat di lapangan dan tidak perlu menunggu kempen rasmi untuk turun padang.

“Insya-Allah, sebaik sahaja Dewan dibubarkan, all system go. Jentera kita di semua peringkat akan bergerak menghadapi pilihan raya,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa fokus utama GRS selama ini adalah menunaikan tanggungjawab sebagai kerajaan negeri. Namun, selepas pembubaran, fokus jentera akan beralih kepada kerja-kerja politik dan kempen pilihan raya secara menyeluruh.

Armizan turut menjelaskan dua teras utama kempen GRS kepada rakyat termasuklah, menjelaskan rekod pentadbiran kerajaan negeri GRS sepanjang lima tahun diberi mandat serta membentangkan tawaran baharu untuk tempoh lima tahun akan datang sekiranya diberikan kepercayaan semula oleh rakyat.

    Beliau menyeru rakyat supaya membuat penilaian yang adil terhadap semua parti politik, termasuk menilai rekod mereka semasa mentadbir kerajaan negeri atau persekutuan pada masa lalu.

    Armizan optimis pembubaran DUN akan diumumkan dalam masa terdekat selepas Ketua Menteri menghadap Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah.

    Beliau turut menyindir parti-parti lawan yang dilihat berkempen terlalu awal hingga “kehabisan modal” dan “terbabas” dalam ucapan mereka.

    “Kita pun kesian dengan mereka yang sudah lama bergerak. Tapi bagi GRS, masa untuk kita masuk gelanggang akan tiba tidak lama lagi,” katanya.

    Exit mobile version