Site icon TUHAU BAMBANGAN

Inkues Zara: Saksi dakwa tahu sebab Zara ditemui di bawah asrama, rasa sebab dituduh mencuri

Kota Kinabalu: Seorang saksi kanak-kanak dalam prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir hari ke-16, iaitu pada Isnin (29 Sept) mendakwa dia mengetahui punca Zara ditemui di tingkat bawah bangunan asrama pada pagi 16 Julai 2025 dengan merasakan kerana Zara itu dituduh mencuri pada malam 15 Julai 2025.

Peguam keluarga Zara, Shahlan Jufri memaklumkan, saksi kanak-kanak keenam memberi keterangan di Mahkamah Koroner semalam dengan menceritakan interaksi terakhir Zara dengan pelajar-pelajar lain pada malam 15 Julai, beberapa jam sebelum tragedi berlaku.

Menurut saksi, sekitar jam 10.20 malam, Zara masuk ke dorm saksi untuk berjumpa seorang pelajar senior bagi membincangkan dua kes kehilangan dompet yang berlaku di asrama.

Tidak lama kemudian, empat pelajar senior termasuk dua individu yang dikenali saksi, turut masuk ke dorm berkenaan.

Saksi mendengar perbualan mengenai isu kecurian serta suara kuat seperti memarahi Zara, namun tidak dapat memastikan siapa yang berkata-kata ketika itu.

Saksi turut berkata bahawa pelajar yang suka memaki ini biasanya cuma buat dengan kawan-kawan sahaja.

Saksi juga menegaskan beliau tidak pernah melihat Zara berada di dorm tersebut sebelum malam kejadian dan enggan ‘melayan’ situasi yang berlaku ketika Zara dimarahi.

Sekitar jam 11.00 malam, saksi melihat Zara keluar dari dorm dalam keadaan menangis dan itulah kali terakhir dia melihat Zara hidup.

Selain itu, saksi turut mengesahkan bahawa dia pernah menghantar sepucuk surat peribadi milik Zara ke dorm arwah, dan surat tersebut diterima oleh seorang pelajar yang turut menjadi saksi dalam inkues ini.

Hakim Koroner turut menyoal saksi mengenai butiran penyerahan surat tersebut semasa prosiding.

Saksi kemudiannya menyatakan dengan jelas bahawa dia mengetahui sebab Zara ditemui di tingkat bawah asrama pada keesokan pagi. Dia merasakan sebabnya adalah Zara dituduh mencuri.

Dalam prosiding sama, pasukan guaman keluarga turut mengemukakan pelan lakar 2D dan 3D Blok Asrama Rabiatul Adawiyah kepada mahkamah.

Pelan yang dihasilkan berdasarkan bahan bukti sedia ada ini bertujuan membantu saksi kanak-kanak menunjukkan lokasi sebenar kejadian dan kedudukan para pelajar pada malam insiden.

Mahkamah Koroner tidak akan bersidang dari 1 hingga 6 Oktober 2025 dan akan disambung semula pada 7 Oktober secara berterusan sehingga tamat prosiding.

Exit mobile version