Sandakan: Seorang lelaki berusia 31 tahun cedera parah selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan dua buah lori, iaitu lori baja dan lori minyak di Jalan Sakilan Desa, Batu 21 Sandakan awal pagi tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.02 pagi sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan bergegas ke lokasi kejadian sejauh 34 kilometer.
Komander Operasi, PBK I Alan Ayuh berkata, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati seorang lelaki tersepit di dalam lori baja akibat pertembungan tersebut.
“Pasukan penyelamat segera menjalankan kerja menyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa. Operasi mengeluarkan mangsa berjaya dilaksanakan pada jam 7.35 pagi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah diberi rawatan awal oleh unit EMRS Bomba sebelum dihantar ke hospital menaiki ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
Turut berada di lokasi ialah empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga petugas KKM.
Operasi kebombaan ditamatkan pada jam 7.46 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di kawasan kejadian.

