Tawau: Seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun cedera melecur pada bahagian tangan selepas kebakaran memusnahkan lapan buah rumah setinggan di Kampung Hidayat, Jalan Apas, Tawau tengah hari tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.50 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dengan kekuatan 18 anggota tiba di lokasi sembilan minit kemudian.
Komander Operasi, PBK I Mohd Yahya Abd Fatah berkata, kebakaran melibatkan deretan rumah setinggan jenis tidak kekal dengan keluasan keseluruhan 226 x 548 kaki persegi dan kemusnahan 100 peratus.
“Api turut merebak dan memusnahkan sebuah kenderaan jenis Proton Wira. Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan teknik ofensif dan defensif dengan satu aliran dan dua pancutan sepanjang 400 kaki, menggunakan sumber air daripada jentera dan tangki air.
“Operasi turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Titingan serta Bomba Komuniti Kg. Hidayat,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, tindakan pantas pasukan penyelamat berjaya mengelakkan kebakaran daripada merebak ke 350 buah rumah berhampiran serta sebuah kilang papan.
Mangsa lelaki tersebut dihantar ke Hospital Tawau menggunakan unit EMRS Bomba untuk rawatan lanjut. Operasi kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.32 tengah hari dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.15 petang selepas memastikan tiada lagi ancaman di lokasi.
Turut serta dalam operasi ialah 10 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua anggota Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SE), serta 10 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

