Kota Kinabalu: Sebanyak 11 kenderaan mewah termasuk Bentley, Lexus, Range Rover dan Ford Mustang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah selepas didapati tidak memiliki lesen kenderaan motor (LKM) sah dan tiada perlindungan insurans aktif.
Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali, berkata tindakan itu hasil Ops Luxury yang dijalankan secara berterusan sejak Jun hingga September lalu di seluruh negeri.
“Ops ini memang memberi fokus kepada pemilik kenderaan mewah yang bergerak tanpa dokumen sah. Ia kesalahan serius di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam (25 Sept).
Daripada jumlah tersebut, tujuh kenderaan disita di Kota Kinabalu, dua di Tawau, satu di Sandakan dan satu di Beaufort.
Antara model yang terlibat termasuk Bentley Continental, Mercedes-Benz, BMW 320i, Nissan Skyline, Nissan Fairlady dan Land Rover Defender.
Mohd Harris menjelaskan, semua pemilik perlu segera memperbaharui LKM dan mengaktifkan insurans sebelum kenderaan mereka dibenarkan dilepaskan.
“Memiliki lesen dan insurans bukan sekadar wajib di sisi undang-undang, malah penting untuk perlindungan diri, penumpang dan pengguna jalan raya lain,” tegasnya.
JPJ Sabah dalam masa sama menegaskan operasi penguatkuasaan seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta pematuhan undang-undang di jalan raya.

