Site icon TUHAU BAMBANGAN

Larangan media dalam prosiding inkues babit saksi kanak-kanak dikekalkan

Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini mengekalkan keputusan untuk tidak membenarkan kehadiran media dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir, khususnya melibatkan saksi kanak-kanak yang dipanggil memberi keterangan.

Hakim Koroner menegaskan keputusan itu dibuat bagi melindungi kebajikan dan sensitiviti saksi bawah umur, meskipun terdapat hujahan berbeza daripada pihak-pihak berkepentingan.

Peguam keluarga arwah, Shahlan Jufri, berkata pihaknya tidak membantah sekiranya media dibenarkan masuk, malah peguam kepada seorang lagi kanak-kanak tertuduh turut sependapat.

Namun, peguam kepada bapa Zara menolak cadangan itu.

“Selepas perbincangan, hakim akhirnya memutuskan untuk mengekalkan status quo – media tidak boleh berada di dalam inkues. Walaupun begitu, hakim menyatakan maklumat berhubung prosiding tetap boleh diperoleh daripada peguam-peguam yang berada dalam mahkamah,” katanya pada sidang media selepas prosiding hari ke-14 inkues.

Dalam prosiding sama, saksi kanak-kanak ketiga memberi keterangan bahawa Zara pernah dipanggil ke dorm lain untuk disoal siasat, selain mendengar kata-kata yang diucapkan pelajar lain dalam keadaan marah.

Saksi itu turut mengesahkan melihat lencana bendera dan sepucuk surat milik Zara.

Esok, inkues dijadual mendengar keterangan daripada dua lagi saksi kanak-kanak, iaitu saksi keempat dan kelima.

Exit mobile version