Site icon TUHAU BAMBANGAN

Inkues Zara: Peguam ingatkan bekas Ketua Menteri Shafie, lebih berhati-hati buat kenyataan

Kota Kinabalu: Peguam bela kepada salah seorang kanak-kanak tertuduh dalam kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Joan Goh, menegaskan Datuk Seri Shafie Apdal seharusnya lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan berhubung prosiding inkues arwah di mahkamah.

Menurut beliau, kedudukan dan pengaruh Shafie sebagai bekas Ketua Menteri memberi tanggungjawab lebih besar untuk tidak mengulas perkara yang boleh menimbulkan implikasi undang-undang.

“Sebagai bekas Ketua Menteri, malah berkemungkinan kembali mengetuai kerajaan suatu hari nanti, beliau sepatutnya lebih berhati-hati.

“Kenyataannya telah menimbulkan implikasi dan boleh dianggap sub judice. Justeru, kami menegaskan hak anak guam kami untuk mendapatkan perlindungan sewajarnya di hadapan mahkamah,” katanya kepada media selepas selesai prosiding pengurusan kes membabitkan lima remaja yang didakwa berhubung kematian Zara.

Goh menjelaskan, mahkamah kini menunggu keputusan daripada prosiding tunjuk sebab di mahkamah, namun hak pihak pembelaan tetap terpelihara dalam Mahkamah Kanak-Kanak.

Prosiding pagi tadi itu turut menyaksikan kehadiran wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Sabah Law Society (SLS) yang dibenarkan menyertai perjalanan mahkamah meskipun menerima bantahan daripada pihak tertentu.

“Objektif kami hanya menjaga pentadbiran keadilan. Satu perkara utama yang kami tekankan ialah isu sub judice,” kata wakil SLS ringkas kepada media.

Exit mobile version