Site icon TUHAU BAMBANGAN

Golongan muda terpelajar perlu jadi agen perubahan – Masiung

Kota Kinabalu: Golongan belia terpelajar digesa memainkan peranan sebagai agen perubahan khususnya bagi membantu masyarakat luar bandar yang masih terpinggir daripada arus pembangunan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, pelajar institusi pengajian tinggi dan belia berpendidikan sewajarnya menggalas tanggungjawab sosial serta berkongsi pandangan semasa dengan masyarakat pelbagai lapisan.

“Generasi muda boleh menjadi penghubung antara rakyat dan pemimpin setempat, selain mengupas isu-isu semasa berkaitan masa depan pembangunan. Namun, saya ingin mengingatkan agar keterlibatan pelajar tidak disalah guna oleh mana-mana pihak untuk agenda politik ekstrim,” katanya.

Beliau menegaskan demikian ketika menghadiri Program Santai Kalaga bersama belia dan penuntut universiti dari daerah Tongod di Stadium Likas, semalam.

Masiung turut merujuk beberapa insiden di ibu negeri baru-baru ini yang menyaksikan segelintir pelajar universiti dipergunakan kumpulan berhaluan kiri untuk menyertai perhimpunan haram.

“Belia dan pelajar yang bersekongkol dengan golongan politik untuk tujuan negatif hanya akan merugikan masa depan anak muda itu sendiri yang seharusnya menumpukan cita-cita,” tegasnya.

Sempena program berkenaan, kejohanan bola sepak sumbangsih turut diadakan melibatkan enam pasukan termasuk dua pasukan wanita.

Exit mobile version