Kota Kinabalu: Prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu semalam (24 Sept) bersamaan inkues hari ke-13 mendedahkan kenyataan saksi kanak-kanak kedua yang mengesahkan bahawa seorang guru pernah memarahi pelajar A dengan kata-kata kesat, iaitu “Bagus bawa anjing pulang, dari bawa pelajar A.”
Peguam Joan Goh yang mewakili pelajar A bersama Datuk Ram Singh berkata, saksi kedua yang dipanggil semalam menjelaskan situasi itu berlaku ketika pelajar A tidak berada di hadapan guru berkenaan.
Kenyataan tersebut dianggap keterlaluan dan memberi gambaran buruk terhadap pelajar terbabit.
Menurut Goh, saksi turut memaklumkan bahawa dalam peraturan asrama, sebarang masalah perlu dibawa kepada ketua dorm, walaupun warden tinggal di aras bawah bangunan asrama.
Saksi kanak-kanak kedua selesai memberi keterangan sekitar jam 4.15 petang, dan hari ini prosiding akan disambung dengan saksi ketiga.
“Dia sudah selesai disoal, esok kita akan mulakan dengan saksi ketiga,” jelas Goh kepada media selepas prosiding.
Dalam perkembangan lain, peguam Ram Singh memberitahu, isu liputan media turut dibincangkan di mahkamah yang mana terdapat cadangan supaya media dibenarkan membuat liputan keterangan saksi kanak-kanak, namun ia masih memerlukan persetujuan pegawai pengendali kes serta garis panduan jelas.
“Kes ini berprofil tinggi, masyarakat mahu tahu apa yang berlaku. Tapi kerana ia melibatkan kanak-kanak, garis panduan mesti jelas supaya tidak menjejaskan mereka,” katanya.
Ram Singh turut menegaskan bahawa (gag order – perintah mahkamah yang melarang mana-mana pihak, termasuk media atau individu terlibat, daripada mendedahkan atau melaporkan maklumat tertentu kepada umum) masih berkuat kuasa dan sebarang pelanggaran boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Katanya, lebih 30 saksi kanak-kanak akan dipanggil memberi keterangan, maka perlindungan dan sensitiviti terhadap mereka perlu diutamakan.

