Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kanak-kanak 9 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi di Kg. Benoni, belum ditemui

Papar: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun masih belum ditemui selepas dipercayai lemas ketika mandi-manda bersama rakan-rakannya di Kg. Benoni, Papar sejak petang kelmarin (23 Sept).

Menurut rakan-rakan mangsa, kanak-kanak itu dipercayai tergelincir di tepi calvert sebelum tenggelam dan dihanyutkan arus ke arah sungai berhampiran.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar menerima panggilan kecemasan pada jam 7.20 malam.

Pasukan bomba seramai sembilan anggota tiba di lokasi pada jam 7.43 malam selepas selesai operasi kebakaran kenderaan di lokasi berasingan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan dengan kaedah Water Surface di kawasan mangsa dilaporkan hilang, sebelum diperluas sehingga radius 250 meter di sepanjang persisiran sungai.

Setakat jam 10 malam semalam, mangsa masih belum ditemui.

Operasi SAR melibatkan jentera FRT dan VIGO terus dijalankan dan perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Exit mobile version