Tawau: Dua lelaki warga China ditahan polis selepas dipercayai menghantar emel ugutan palsu mendakwa terdapat bom dalam pesawat yang dijadual berlepas dari Tawau ke Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kedua-dua suspek berusia 28 dan 29 tahun itu diberkas di sebuah hotel di Semporna sekitar jam 8 malam hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Tawau dengan kerjasama IPD Semporna.
“Salah seorang suspek mengaku menghantar mesej ugutan palsu melalui aplikasi rasmi sebuah syarikat penerbangan semata-mata untuk mendapatkan respon segera menukar tempat duduk.
“Suspek mendakwa terbaca di sebuah portal di China bahawa ancaman sebegitu boleh mempercepatkan maklum balas,” katanya.
Beliau berkata, ugutan berkenaan dihantar pada 20 September lalu jam 11.30 malam ke ibu pejabat syarikat penerbangan di Kuala Lumpur, sebelum dimaklumkan kepada pihak keselamatan di Lapangan Terbang Tawau.
Polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang digunakan bagi menghantar emel berkenaan.
Kedua-dua suspek kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pihak Konsulat China turut dimaklumkan mengenai penahanan itu.
ACP Jasmin menegaskan, polis memandang serius setiap ancaman yang berpotensi mencetuskan panik, terutama melibatkan keselamatan penerbangan awam.
“Orang ramai diingatkan agar tidak menyalahgunakan teknologi dengan menyebarkan kandungan palsu, jelik atau berbaur ancaman. Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil,” katanya.

