Site icon TUHAU BAMBANGAN

Inkues Zara: Pelajar A pindah sekolah walaupun arahan perpindahan sudah dibekukan

Kota Kinabalu: Prosiding inkues kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Zara Qairina Mahathir, di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini mendedahkan bahawa seorang pelajar, dirujuk sebagai Pelajar A, telah berpindah sekolah hanya beberapa minggu selepas insiden menimpa pelajar tingkatan satu itu.

Peguam keluarga Zara, Shahlan Jufri berkata, meskipun Jabatan Pendidikan atau Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilaporkan sudah membekukan proses perpindahan pelajar, namun pelajar A tetap berjaya pindah dan bertanya kepada saksi kelapan, iaitu warden asrama, Azhari Abd Sagap, mengapa perkara itu boleh berlaku.

Shahlan: cikgu, saya difahamkan, pelajar A sudah pindah sekolah?

Azhari (saksi): Ya. 

Shahlan: Jadi pelajar yang masih sekolah di SMKA itu B, C, D, dan E?

Azhari (saksi): Ya.  

Shahlan: Saya difahamkan lepas kejadian Zara ini, Jabatan Pendidikan atau Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membekukan pemindahan pelajar ke sekolah lain, bagaimana pelajar A ini boleh pindah selepas arahan dibekukan?

Azhari (saksi): Bukan bidang tugas saya. 

Shahlan: Bila pelajar ini pindah?

Azhari (saksi): Tidak ingat, tapi beberapa minggu selepas kejadian.

Perkara itu dimaklumkan dalam prosiding inkues hari kesembilan di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Azhari menjelaskan, lazimnya pelajar yang mahu berpindah akan mengisi borang tertentu, namun tempoh kelulusan tidak dapat dipastikan olehnya.

Dalam sesi soal jawab itu juga, saksi mengesahkan bahawa pelajar lain yang dirujuk sebagai B, C, D, dan E masih bersekolah di SMKA Tun Datu Mustapha, manakala pihak sekolah telah mengambil keterangan mereka untuk sesi kaunseling.

Guru kaunseling yang terlibat dikenalpasti sebagai Cikgu Miswati.

Selain itu, saksi turut ditanya mengenai kedudukan pelajar senior yang menjadi ketua dorm, namun beliau tidak dapat memastikan sama ada jawatan itu masih dipegang.

Azhari bagaimanapun berkata, pelantikan ketua dorm dibuat melalui perbincangan antara warden.

Prosiding inkues Zara Qairina akan bersambung esok dengan mendengar sambungan keterangan Azhari dan seterusnya saksi kanak-kanak yang dijangka akan hadir.

Exit mobile version