Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SE) memberi jaminan akan menyalurkan sokongan sewajarnya termasuk bantuan kebajikan dan sokongan emosi kepada keluarga kakitangannya, Masedeh Rosmin, yang ditemui meninggal dunia hari ini selepas dihanyutkan arus deras ketika bertugas di lapangan di Keningau, baru-baru ini.
Dalam kenyataan rasminya, SE melahirkan rasa dukacita atas kehilangan tersebut dan merakamkan ucapan takziah serta simpati mendalam kepada ahli keluarga Allahyarham.
Pihak syarikat turut menzahirkan penghargaan kepada semua pasukan penyelamat yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat, termasuk Team Golen Star, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, serta rakan-rakan sekerja yang bertungkus-lumus sepanjang misi pencarian.
Allahyarham yang dikenang sebagai seorang kakitangan berdedikasi tinggi amat dirasai kehilangannya oleh seluruh warga SE.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” menurut kenyataan itu.
SE dalam masa sama menyeru orang ramai menghormati sensitiviti situasi ini serta memberi ruang kepada keluarga mangsa yang sedang melalui detik sukar.

