Keningau: Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) merayu semua pihak agar menghormati sensitiviti situasi serta memberikan ruang kepada keluarga seorang kakitangannya yang dikhuatiri dihanyutkan arus deras ketika bertugas di Kampung Nuntunan Apin-apin, semalam.
Dalam kenyataan rasminya, SESB mengesahkan insiden itu melibatkan tiga orang kakitangan yang sedang menjalankan tugasan di lapangan.
“Dua daripada mereka berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lagi lelaki berusia lingkungan 30-an, dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras.
“Keutamaan kami ketika ini adalah keselamatan serta kebajikan kakitangan yang terlibat, di samping memberikan sokongan penuh kepada keluarga mangsa. Pasukan penyelamat bersama pihak berkuasa berkaitan telah digerakkan ke lokasi dan usaha pencarian sedang giat dijalankan,” kata SESB, semalam.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.57 malam sebelum mengerahkan sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dengan sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS ke lokasi kejadian.
Komander Operasi, PBK I Norhasrita Abdul Manan berkata, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan di persisiran sungai dengan kerjasama semua agensi terlibat.

