Site icon TUHAU BAMBANGAN

Tamu Suara 360° himpunkan lebih 1,000 belia di Sook

Sook: Program Tamu Suara 360°: Aspirasi Anak Muda anjuran Kementerian Belia dan Sukan Sabah dengan kerjasama Majlis Belia Sabah berjaya menghimpunkan lebih 1,000 belia di Dewan Datuk Ellron Angin, Kg. Biah, Sook.

Program tersebut menjadi platform penting untuk mendengar aspirasi, pandangan dan cadangan golongan belia berkaitan pembangunan negeri. Penganjuran di Sook melengkapkan siri jelajah Tamu Suara 360° yang memberi peluang kepada anak muda di setiap daerah menyuarakan idea mereka kepada kerajaan.

Kemuncak program, iaitu sesi dialog bersama Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Alfred Angin, telah membincangkan isu-isu utama melibatkan peluang keusahawanan bagi belia; akses pendidikan dan pembangunan modal insan; serta peranan belia dalam hala tuju pembangunan negeri.

Program turut menyaksikan penyampaian geran di bawah Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) kepada usahawan belia terpilih. Inisiatif itu merupakan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh penglibatan belia dalam bidang keusahawanan sekali gus meningkatkan daya saing ekonomi generasi muda.

Penganjur, Presiden Majlis Belia Sabah, Abqaree Fawwaz Abekan berkata, Tamu Suara 360° membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Sabah untuk terus memberi perhatian kepada suara anak muda, melahirkan generasi belia yang progresif, berdaya saing dan berupaya menjadi pemacu masa depan negeri.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Datuk Mansur Asun, serta para belia dari kawasan pedalaman.

Exit mobile version