Site icon TUHAU BAMBANGAN

Pembatalan sambutan Hari Malaysia di Sabah, langkah bertanggungjawab lindungi keselamatan rakyat – Nizam

Kota Kinabalu: Keputusan Kerajaan Negeri membatalkan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri disifatkan sebagai langkah penuh tanggungjawab demi melindungi keselamatan rakyat berikutan bencana banjir besar yang melanda beberapa daerah di Sabah.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, dalam keadaan genting seperti ini, keutamaan kerajaan adalah memastikan nyawa dan kebajikan rakyat terpelihara.

“Sambutan boleh ditunda, tetapi nyawa dan keselamatan rakyat tidak boleh diganti. Tumpuan utama kita semua adalah melindungi keselamatan nyawa, memastikan kesejahteraan komuniti dan membantu mangsa-mangsa yang terkesan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas serta Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah menyeru seluruh rakyat agar bersatu hati, saling membantu dan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa serta pasukan penyelamat yang sedang bertungkus-lumus menjalankan operasi siang dan malam.

Nizam turut menegaskan bahawa semangat Hari Malaysia harus dizahirkan dengan tindakan nyata membantu mangsa bencana.

“Setiap usaha kecil daripada kita, sama ada bantuan barangan asas, tenaga sukarela atau doa, amat besar maknanya kepada mereka yang sedang menderita,” ujarnya.

Beliau yakin, dengan kesatuan hati, ketabahan dan semangat gotong-royong, Sabah mampu bangkit semula daripada ujian bencana yang melanda.

“Inilah masa untuk kita membuktikan bahawa semangat rakyat Sabah bukan sekadar slogan, tetapi realiti hidup yang mencerminkan kasih sayang kita kepada negeri dan rakyatnya,” katanya.

Exit mobile version