Kota Kinabalu: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Musa Aman, menyeru seluruh rakyat Malaysia agar memperkukuhkan semangat perpaduan dan menolak sebarang usaha yang cuba memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum serta agama.
Dalam perutusannya sempena sambutan Hari Malaysia ke-62, Tun Musa menegaskan bahawa Malaysia lahir daripada semangat perpaduan, persefahaman dan visi bersama sejak 16 September 1963 apabila Malaya, Sabah dan Sarawak bersatu membentuk sebuah persekutuan yang unik.
“Malaysia dikurniakan kepelbagaian kaum, budaya dan agama yang kaya. Kepelbagaian ini tidak seharusnya menjadi punca perpecahan, sebaliknya kekuatan yang menyatukan kita,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa Sabah dan Sarawak memainkan peranan besar dalam pembangunan serta kestabilan Malaysia. Namun, masih banyak yang perlu dilakukan bagi mengurangkan jurang ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat di Sabah.
“Sabah yang lebih kuat akan menjadikan Malaysia lebih kukuh. Usaha mesti diteruskan agar pembangunan dan peluang sampai ke setiap pelosok negeri supaya tiada siapa yang tertinggal,” jelas beliau.
Tun Musa turut menegaskan bahawa tiada ruang untuk sikap fanatik perkauman atau agama di Malaysia sekiranya negara ingin terus maju bersama. Menurutnya, Sabah adalah teladan kepada toleransi dan keharmonian kerana masyarakat berbilang etnik dan agama hidup dengan aman.
Dalam perutusannya, beliau mengingatkan pemimpin politik supaya tidak mengejar keuntungan politik sempit dengan memainkan isu kaum atau agama.
“Pemimpin harus memberi tumpuan kepada idea bernas, penyelesaian praktikal serta dasar-dasar yang dapat memperkasa rakyat dan memajukan negeri serta negara secara keseluruhan,” katanya.
Mengulas bencana yang menimpa beberapa kawasan di Sabah, Tun Musa menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa banjir dan tanah runtuh akibat hujan berterusan.
“Banjir besar bukan sahaja meragut nyawa tetapi turut mengakibatkan kerosakan kepada kediaman, perniagaan, dan infrastruktur. Dalam masa yang sukar ini, saya menyeru semua komuniti agar berhati-hati, berwaspada dan mematuhi nasihat pihak berkuasa. Marilah kita bersama menghulurkan bantuan agar proses pemulihan dapat dilaksanakan melalui semangat ketabahan dan perpaduan,” ujarnya.
Mengakhiri perutusannya, beliau mengajak seluruh rakyat memperbaharui komitmen kepada solidariti, keadilan dan kemakmuran negara.
“Bersama-sama, dengan saling menghormati dan tujuan yang dikongsi bersama, kita akan terus membina sebuah Malaysia yang aman, progresif dan tidak mudah goyah,” katanya sambil mengucapkan Selamat Hari Malaysia.

