Papar: Tiga sekeluarga termasuk dua kanak-kanak maut selepas rumah mereka tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kg. Marahang Tuntul, Papar semalam.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.20 pagi (15 Sept) sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar bersama Unit Storm digerakkan ke lokasi kejadian, kira-kira 13 kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK I Imamat Tawarid dalam kenyataan memaklumkan, operasi mencari dan menyelamat melibatkan seramai 16 anggota dengan bantuan agensi lain termasuk PDRM, ATM, KKM, APM dan RELA.
“Pasukan penyelamat berjaya menemukan mangsa pertama pada jam 4.20 petang, mangsa kedua lima minit kemudian, manakala mangsa ketiga ditemui pada jam 8.45 malam. Ketiga-tiga mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Mangsa terdiri daripada seorang wanita berusia 34 tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.
Sementara itu, Pengarah JBPM Sabah, PKPjB Mohd Pisar Aziz, ketika mengulas kejadian itu berkata, operasi mengeluarkan mangsa dijalankan penuh berhati-hati kerana keadaan struktur tanah yang tidak stabil.
“Kejadian tanah runtuh ini berlaku secara mengejut hingga meranapkan sebuah rumah. Pasukan penyelamat terpaksa bekerja dalam keadaan risiko tinggi dengan dibantu agensi keselamatan lain. Alhamdulillah semua mangsa berjaya dikeluarkan walaupun tragedi ini berakhir dengan kehilangan nyawa,” katanya.
Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menasihatkan orang ramai yang tinggal di kawasan cerun atau lereng bukit agar lebih berwaspada, khususnya ketika cuaca tidak menentu.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.05 pagi tadi.

