Kuala Penyu: Seorang pemuda berusia 20 tahun ditemui maut selepas dikhuatiri lemas ketika melakukan aktiviti menangkap ikan di Kampung Batu Linting, Kuala Penyu petang tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima melalui MERS999 pada jam 1.15 tengah hari.
Susulan itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu dengan kekuatan lapan anggota telah digerakkan ke lokasi sejauh 21 kilometer.
Komander Operasi, PBK II Mohd Razali Denah berkata, mangsa berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat pada jam 1.45 petang, kira-kira 500 meter dari lokasi awal mangsa dilaporkan hilang.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Operasi turut melibatkan kerjasama daripada PDRM (4 anggota), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) (4 anggota) dan KKM (3 anggota). Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.57 petang setelah keadaan di lokasi disahkan selamat.

