Site icon TUHAU BAMBANGAN

7 nyawa terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Kg Cendera Kasih Kelombong

Kota Kinabalu: Tragedi tanah runtuh telah mengorbankan tujuh nyawa apabila sebuah rumah di Kampung Cendera Kasih, Kolombong, dihempap tanah runtuh pagi tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada jam 10.02 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dengan kekuatan 11 anggota, bersama bantuan BBP Tuaran, Unit K9 dan Unit Storm digerakkan ke lokasi kira-kira tiga kilometer dari balai.

Pasukan tiba di lokasi pada jam 10.24 pagi.

Komander Operasi, PBK I Wilfred Sulai berkata, seramai 11 mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu. Hasil operasi menyelamat mendapati tujuh mangsa maut, seorang cedera dan tiga lagi terselamat.

“Mangsa yang terkorban terdiri daripada empat wanita dan tiga kanak-kanak berusia antara dua hingga sembilan tahun. Seorang mangsa lelaki berusia 20 tahun mengalami kecederaan di bahagian paha, manakala tiga lagi mangsa berusia 15 hingga 18 tahun dilaporkan selamat,” katanya.

Mayat semua mangsa yang maut telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi disertai seramai 24 anggota bomba dengan kekuatan aset termasuk sebuah jentera LFRT, dua unit EMRS, sebuah Navara dan sebuah Nissan X-Trail.

Turut serta memberi bantuan ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) seramai 12 anggota, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) seramai 4 anggota serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seramai 7 anggota.

Operasi ditamatkan pada jam 3.46 petang setelah kawasan disahkan selamat.

Pemantauan berterusan akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan risiko susulan.

Exit mobile version