Papar: Dua beranak terdiri daripada seorang wanita dan anak lelakinya ditemui maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang menghempap tiga buah rumah di Kampung Mook, Kinarut pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada jam 10.02 pagi.
Susulan itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar bersama Unit Storm digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 35 kilometer.
Komander Operasi, PBK I Hamdani Harith berkata, seramai sembilan anggota dengan sebuah jentera EMRS terlibat dalam operasi tersebut.
“Kedua-dua mangsa berjaya ditemui dan dikeluarkan, namun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan.
“Mangsa terdiri daripada seorang wanita berusia 38 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun,” jelas kenyataan itu di sini, hari ini.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.25 petang selepas kawasan berkenaan disahkan selamat.
Pemantauan berterusan akan tetap dilakukan oleh pihak bomba bagi mengelakkan sebarang insiden susulan.

