Papar: Berikutan semakin banyak kampung dinaiki air dan beberapa kawasan terputus hubungan jalan raya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Papar dan Membakut hari ini mengisytiharkan Bencana Banjir di kedua-dua daerah tersebut.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pengisytiharan itu dibuat selepas penilaian di lapangan bersama agensi-agensi berkaitan dan pegawai daerah masing-masing.
“Di Papar, saya bersama Pegawai Daerah dan YB Datuk Juil Nuatim sedang bergerak meninjau keadaan serta menyampaikan bantuan ke kampung-kampung yang terputus hubungan jalan raya.
“Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Dewan Masyarakat Papar juga telah dibuka untuk menempatkan mangsa yang dipindahkan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau menjelaskan, keutamaan JPBD kini ialah, memindahkan penduduk yang rumahnya dinaiki air pada paras berbahaya ke PPS dan menghantar bekalan keperluan asas ke kampung-kampung yang terputus hubungan jalan raya.
Orang ramai diminta menghubungi talian kecemasan berikut sekiranya memerlukan bantuan segera:Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Papar: 088-913113! APM Papar: 088-911999; Bomba: 088-913521 dan; Polis: 088-912222.
JPBD Papar dan Membakut turut menyeru semua penduduk yang terjejas supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa, dan segera berpindah ke PPS apabila diarahkan demi keselamatan.
Terdahulu pada jam 8.22 pagi Pegawai Daerah Membakut, Ibarhim Terki telah mengisytiharkan pembukaan PPS Dewan Masyarakat Bongawan selepas pemeriksaan ke kediaman mangsa banjir yang sudah tidak selamat untuk diduduki.

