Kota Kinabalu: Prosiding inkues kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, hari kelima mendedahkan bahawa Blok Rabiatul Adawiyah, lokasi kejadian pelajar itu ditemui, tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) mahupun gril atau palang keselamatan di koridornya.
Fakta itu disahkan saksi keenam, Linah Mansoding @ Jaliha, seorang pengawal keselamatan di sekolah terbabit, ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan, pagi tadi.
“Setahu saya, tiada sebarang kamera litar tertutup (CCTV) di pasang di blok asrama Rabiatul Adawiyah. Tiada juga gril (palang besi) dipasang di koridor bangunan asrama tersebut,” katanya.
Menurut Linah, pada 16 Julai lalu sekitar jam 3.00 pagi, seorang pelajar memaklumkan kepadanya bahawa seorang pelajar pengsan di longkang berhampiran asrama Blok Rabiatul Adawiyah.
“Sekitar jam lebih kurang 3.00 pagi, semasa saya berada di asrama Blok Sumayyah, saya telah dimaklum oleh seorang pelajar bahawa ada seorang pelajar perempuan pengsan di longkang asrama Blok Rabiatul Adawiyah.
“Saya terus bergegas ke asrama Blok Rabiatul Adawiyah dan melihat seorang pelajar perempuan yang dikenali dengan nama Zara terlentang di longkang asrama dalam keadaan tidak sedar diri. Saya terus menghubungi Ketua Warden Asrama, Ustaz Azhari berkenaan kejadian tersebut. Selepas menghubungi Ketua Warden Asrama tersebut, saya mengambil sekeping gambar Zara di dalam keadaan terlentang di longkang tersebut.
“Selepas Ustaz Azhari sampai di lokasi kejadian, beliau telah menghubungi hospital dan ambulans sampai pada sekitar jam 4.00 pagi. Pelajar yang dikenali sebagai Zara tersebut telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk terima rawatan,” katanya lagi.
Prosiding inkues ini diteruskan bagi merungkai punca sebenar kematian pelajar berusia 13 tahun itu.

