Site icon TUHAU BAMBANGAN

Pemilik akaun TikTok @bentan_alamin_35 ditahan, disyaki hina TYT & Ketua Menteri

Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah menahan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun kerana disyaki mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan terhadap Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Ketua Menteri Sabah melalui aplikasi TikTok.

Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Dikun, dalam satu kenyataan media semalam berkata, tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan berhubung satu hantaran di aplikasi TikTok menggunakan akaun @bentan_alamin_35, yang mengandungi kenyataan tidak wajar dan berunsur hasutan.

Menurut beliau, laporan polis diterima pada 7 September 2025 daripada seorang pengadu yang mendakwa kandungan video tersebut berbaur penghinaan serta penyalahgunaan kemudahan rangkaian terhadap dua pemimpin utama negeri.

“Hasil siasatan mendapati kandungan video berkenaan jelas berunsur hasutan serta penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Tambah beliau, suspek ditahan sekitar jam 2.45 petang pada 9 September 2025 di daerah Papar bagi membantu siasatan lanjut.

“Turut dirampas daripada suspek ialah sebuah telefon bimbit jenama Vivo. Hasil semakan awal mendapati suspek adalah pengendali akaun TikTok berkenaan yang memuat naik kenyataan berunsur hasutan. Semakan lanjut juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan penyalahgunaan kemudahan rangkaian,” jelasnya.

Datuk Jauteh menegaskan, polis memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial yang melanggar undang-undang serta boleh mengganggu ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka, berhemah, serta berfikir terlebih dahulu sebelum memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan di media sosial. PDRM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang,” katanya lagi.

Kenyataan media itu turut mengingatkan bahawa masyarakat perlu menggunakan media sosial secara bertanggungjawab selaras dengan prinsip undang-undang dan norma keharmonian masyarakat.

Exit mobile version