Site icon TUHAU BAMBANGAN

Inkues: Doktor Neurosurgeri sahkan tidak beri ubat sawan pada Zara

Kota Kinabalu: Seorang pegawai perubatan Jabatan Neurosurgeri memberitahu Mahkamah Koroner bahawa beliau tidak memberikan ubat Phenytoin kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir ketika pelajar itu dimasukkan ke wad neurosurgeri Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada 16 Julai lalu.

Saksi keempat, Dr. Pavankumar Balachandran, 32, lulusan Universitas Padjadjaran, Indonesia, menjelaskan bahawa Phenytoin adalah sejenis ubat antikejang yang lazim diberikan kepada pesakit kecederaan otak traumatik.

“Dalam istilah mudah, ubat ini digunakan untuk mencegah sawan,” katanya ketika prosiding hari keempat inkues di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan di sini, hari ini.

Ketika sesi soal jawab oleh peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili salah seorang kanak-kanak tertuduh berkaitan kes buli Zara, Dr. Pavankumar ditanya sama ada Phenytoin diperlukan dalam kes kecederaan otak. Beliau menjawab “ya”, namun menegaskan bahawa ia bergantung pada penilaian awal pesakit.

Ram Singh: Dalam situasi kecederaan otak traumatik, adakah Phenytoin diperlukan?

Dr. Pavankumar: Ya.

Ram Singh: Termasuk juga dalam kes Zara yang tidak sedarkan diri?

Dr. Pavankumar: Ia bergantung pada penilaian awal.

Ram Singh: Daripada penilaian awal anda terhadap Zara, adakah anda memberikan ubat itu?

Dr. Pavankumar: Tidak.

Ram Singh: Mengapa tidak, sedangkan Zara dalam keadaan sangat kritikal yang boleh menyebabkan kematian?

Dr. Pavankumar: Seperti yang saya katakan, berdasarkan penilaian awal secara klinikal dan radiologi, dia mengalami kecederaan yang tidak boleh dipulihkan. Dalam kes ini, pemberian ubat pencegah sawan tidak akan mengubah hasilnya.

Ram Singh: Adakah anda tahu bila Phenytoin diberikan kepada Zara?

Dr. Pavankumar: Tidak.

Terdahulu, Dr. Pavankumar memaklumkan mahkamah bahawa beliau tidak berada di Hospital Queen Elizabeth ketika Zara dimasukkan ke wad neurosurgeri selepas jam 6 petang pada 16 Julai.

Pada sebelah pagi, saksi kedua Dr. Janefer Voo juga memberi keterangan bahawa 10 jenis ubat diberikan kepada Zara kecuali Phenytoin.

Minggu lalu, saksi pertama iaitu pakar patologi forensik Dr. Jessie Hiu mendedahkan bahawa terdapat kesan Phenytoin dikesan pada tisu buah pinggang Zara dalam hasil bedah siasatnya.

Exit mobile version