Kota Kinabalu: “Zara berada dalam keadaan amat kritikal, kekurangan oksigen pada otak dan tidak menunjukkan sebarang tanda pemulihan sejak dimasukkan ke hospital,” demikian keterangan Dr. Pavankumar Balachandran, pegawai perubatan Jabatan Neurosurgeri Hospital Queen Elizabeth (HQE), di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini.
Menurut beliau, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dibawa ke Jabatan Kecemasan HQE pada 16 Julai 2025 jam 4.38 pagi selepas ditemui tidak sedarkan diri di kawasan asrama sekolahnya.
Trauma Alert turut diaktifkan sejurus ketibaan mangsa.
Hasil pemeriksaan awal mendapati Zara telah diintubasi dan menggunakan mesin bantuan pernafasan, dengan skor neurologi Glasgow Coma Scale (GCS) E1VTM1, iaitu tidak memberi sebarang respons. Anak mata didapati tetap dan melebar, manakala refleks batang otak tiada.
Pemeriksaan turut menemui benjolan dan luka di bahagian belakang kepala serta kecederaan patah di tangan kiri dan kedua-dua buku lali.
Imbasan CT Scan kemudiannya menunjukkan Zara mengalami pendarahan otak yang meluas di bahagian subarachnoid dan subdural, selain tanda awal herniasi otak akibat tekanan dalam tengkorak.
Katanya, walaupun terdapat benjolan pada kepala, tiada patah tengkorak dikesan.
Dr. Pavankumar berkata, pasukan perubatan daripada pelbagai disiplin merawat Zara dan keluarga telah dimaklumkan keadaan mangsa yang amat kritikal dengan prognosis sangat buruk.
Mangsa dimasukkan ke Wad Neurosurgeri pada petang 16 Julai, namun sepanjang rawatan tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif.
Pada 17 Julai 2025 jam 1.07 tengah hari, Zara disahkan meninggal dunia akibat kecederaan otak traumatik teruk dengan komplikasi hipoksia-iskemia, iaitu kekurangan oksigen pada otak.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Jabatan Perubatan Forensik selepas dimaklumkan kepada pegawai penyiasat.

