Site icon TUHAU BAMBANGAN

6 ditahan, bantu siasatan penemuan mayat dalam kereta suspek tembak polis

Ipoh: Polis menahan enam individu termasuk ahli keluarga bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang wanita di dalam sebuah kenderaan yang dipandu suspek bersenjata, sebelum insiden menembak dan menikam seorang anggota polis di Simpang Pulai, awal pagi tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita.

“Identiti mangsa berusia 62 tahun telah dikenal pasti. Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat sesak nafas. Mangsa ditemui di tempat duduk belakang Toyota Avanza dengan kepalanya ditutup beg plastik,” katanya.

Beliau menjelaskan, siasatan kini difokuskan kepada peranan kesemua suspek, hubungan antara mangsa dengan suspek utama serta punca kejadian.

Polis juga mengesahkan kenderaan tersebut bukan kenderaan curi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.15 pagi apabila pasukan rondaan Balai Polis Simpang Pulai mengesan kereta mencurigakan di Taman Desa Pakatan.

Suspek enggan berhenti dan memecut ke arah ladang kelapa sawit sebelum berlaku pergelutan dengan seorang anggota polis.

Dalam insiden itu, suspek merampas pistol perkhidmatan koperal berusia 26 tahun lalu menembak perutnya serta menikam mangsa sebelum melarikan diri bersama senjata api.

Anggota polis berkenaan kini dirawat di hospital.

Menurut Noor Hisam, operasi mengesan suspek utama sedang giat dijalankan dan polis tidak menolak kemungkinan lebih ramai akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Sumber: TV3

Exit mobile version