Ranau: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menegaskan bahawa pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya membawa perubahan besar dalam landskap pembangunan negeri.
Beliau berkata, pencapaian itu meliputi aspek sosial, ekonomi, pendidikan dan infrastruktur asas hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan menerusi Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) serta inisiatif Kerajaan Madani.
“Semua ini terlaksana kerana adanya kesinambungan dasar yang baik. Justeru, saya menyeru rakyat agar bijak memilih kerajaan pada PRN Sabah ke-17 nanti supaya usaha ini dapat diteruskan,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia peringkat Mukim Timbua di Dewan Mini Kg. Timbua, semalam.
Semarak Perpaduan dan PatriotismeDalam ucapannya, Dr. Joachim turut mengingatkan rakyat bahawa sambutan Hari Kebangsaan, Hari Sabah dan Hari Malaysia bukan sekadar acara memperingati kemerdekaan, sebaliknya menjadi wahana untuk memperkukuh keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum.
Katanya, kerjasama erat antara rakyat dan kerajaan perlu sentiasa diperkukuh agar kesinambungan pembangunan negeri dapat dicapai dengan jayanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penganjur, diketuai Mod Sably Kaimin, serta pelbagai pihak yang menjayakan sambutan tersebut. Program yang bermula pada 31 Ogos lalu menampilkan pelbagai pengisian termasuk konvoi motosikal, senamrobik zumba, Jualan Rahmah, pemeriksaan kesihatan percuma, kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN), gerai jualan dan sukan rakyat seperti tarik tali.
“Saya berpuas hati kerana sambutan ini berlangsung meriah, bermanfaat serta berjaya menyemarakkan semangat patriotisme,” katanya.
Antara pihak yang terlibat termasuk Kelab Motosikal Timbua (KMT), Jabatan Penerangan, Belia Masjid As-Syarif, Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Kg. Timbua serta Mesilou Volunteer Club (MEVOC).

