Ipoh: Seorang anggota polis cedera parah selepas ditikam dan ditembak ketika cuba menahan seorang suspek di kebun kelapa sawit berhampiran Kilang Aalborg Portland, Simpang Pulai, awal pagi tadi.
Polis Ipoh memaklumkan, dalam kejadian pada jam 1.15 pagi, mangsa Aziq Zulkifri, 28, dari Balai Polis Simpang Pulai bersama pasukan rondaan cuba menahan sebuah Toyota Avanza mencurigakan sebelum suspek melarikan diri.
“Kejar-mengejar sejauh lebih dua kilometer berakhir dengan pergelutan, apabila suspek menikam mangsa, merampas pistol P99 miliknya, lalu melepaskan dua das tembakan ke arah perut mangsa.
“Mangsa mengalami kecederaan serius namun dilaporkan stabil selepas dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk pembedahan,” jelas polis Ipoh dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemui mayat seorang wanita berbangsa Cina dengan kepala dibungkus plastik bernama Foo Swee Toh, 63, ditemui di lokasi.
Polis kini memburu suspek lelaki berbangsa Cina yang melarikan diri bersama senjata api milik anggota terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302/307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

