Site icon TUHAU BAMBANGAN

Ismail Sabran jumpa Mukmin dalam debat Solidariti Zara di Tawau 14 September ini

Tawau: Pengerusi Persatuan Muafakat Anak Bangsa Sabah (PMAB Sabah), Ismail Sabran mengesahkan akan menyertai debat anjuran Ikatan Anak Muda Tawau (IKAT) pada 14 September 2025 di Padang Bandaran Tawau, berhubung isu solidariti bagi menuntut keadilan terhadap kematian pelajar, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Menurut Ismail, pada mulanya beliau enggan menyertai perdebatan itu kerana enggan menambah kesedihan keluarga mangsa yang masih dalam tempoh berduka.

Namun katanya, selepas mendapat nasihat dan restu daripada kedua ibu bapanya, beliau akhirnya bersetuju untuk hadir.

“Saya akan berdebat bukan sebagai ahli politik atau mewakili parti, tetapi sebagai seorang ayah dan juga sebagai Pengerusi Persatuan Muafakat Anak Bangsa Sabah (PMAB Sabah) yang mahukan keadilan untuk arwah adik Zara.

“Soal malu itu tidak ada dalam kamus hidup saya. Apa yang penting ialah menjaga adab, kerana paling malu ialah apabila seseorang berasa berilmu tetapi tidak beradab,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Debat tersebut akan mempertemukan Ismail dengan aktivis mahasiswa, Mukmin Nantang, dengan tajuk “Mahu Membakar Orang Itu Solidariti Zara atau Pun Keadilan”.

Moderator bagi sesi itu ialah Asmah Kadir.

Ismail mengakui ini merupakan pengalaman pertamanya berdebat secara terbuka, namun beliau bersedia menyahut cabaran tersebut walaupun berdepan pasukan mahasiswa.

“Orang menjual kita membeli, orang beradab kita hormati,” ujarnya.

Exit mobile version