Kota Kinabalu: Polis mengesahkan menerima laporan daripada Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth, Dr Jessie Hiu, berhubung ugutan yang diterimanya selepas memberi keterangan di Mahkamah Koroner dalam prosiding inkues kematian pelajar Zara Qairina Mahathir.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, laporan polis itu dibuat oleh Dr Hiu semalam melalui Pengarah Hospital Queen Elizabeth.
“Ada terima ugutan yang dimaklumkan oleh Pengarah Hospital Queen Elizabeth. Kes sedang dalam siasatan polis,” katanya ringkas ketika dihubungi.
Dalam prosiding inkues minggu lalu, Dr Hiu, 58, yang menjalankan bedah siasat terhadap Zara Qairina, menyatakan pelajar berusia 13 tahun itu tidak mungkin terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari kedudukan berdiri di sebelah penghadang konkrit koridor asrama sekolahnya.
Beliau turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa mayat Zara berada pada tahap pereputan sederhana hingga lanjut, selari dengan tempoh pengebumian di dalam tanah.
Kecederaan yang dialami mangsa juga didapati konsisten dengan rekod perubatan, imbasan CT, CTA serta radiograf.
Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada awal pagi 16 Julai sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, keesokan harinya.
Selepas meneliti laporan siasatan polis, Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 13 Ogos mengarahkan inkues dijalankan.
Pada 8 Ogos, AGC turut mengarahkan kubur pelajar itu digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.
Sumber: BERNAMA

