Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 22 tahun maut selepas tertimbus runtuhan tanah sedalam kira-kira 10 kaki ketika melakukan kerja-kerja menggali dan menanam paip di kawasan Universiti Malaysia Sabah (UMS), petang tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, panggilan kecemasan diterima pada jam 1.45 tengah hari.
Susulan itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 2.03 petang dengan kekuatan 12 anggota, diketuai Komander Operasi PBK I Judi Trisna.
Menurut laporan operasi, mangsa dipercayai tertimbus sepenuhnya ketika kejadian. Pasukan penyelamat bertindak menggali tanah sebelum mengangkat mangsa menggunakan pengusung (stretcher).
Namun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan petugas KKM itu tamat sepenuhnya pada jam 2.50 petang.
Kes kini dalam siasatan pihak berkuasa.

