Kota Kinabalu, Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Malaysia mengumumkan bahawa BN/UMNO Sabah secara rasmi menolak kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN-17) akan datang.
Bagi aktivis politik pro-GRS, Aksyah Nasrah, pengumuman ini dianggap sebagai sesuatu yang menggembirakan penyokong GRS.
Namun beliau menegaskan, kegembiraan itu tidak boleh dianggap sebagai tanda kemenangan awal kerana kejayaan sebenar hanya ditentukan apabila GRS diumumkan sebagai pemenang rasmi PRN nanti.
Menurut Aksyah, kenyataan Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said yang mendedahkan BN hanya ditawarkan lapan kerusi dalam rundingan, menjelaskan sebab utama penolakan kerjasama itu.
GRS pula berpegang pada prinsip ‘incumbency rule’ dengan menolak tuntutan BN untuk bertanding di kawasan yang kini dipegang mereka.
“Keputusan GRS ini rasional berdasarkan kedudukan BN Sabah ketika ini. Ia boleh diibaratkan sebagai menolak pinangan dengan cara berhemah tetapi tegas,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook sambil mengingatkan tindakan BN sebelum ini melalui Langkah Kinabalu masih segar dalam ingatan rakyat Sabah.
Aksyah turut menjelaskan, situasi ini bermakna enam kerusi yang disandang GRS akan turut ditandingi BN, sesuatu yang disifatkan sebagai baik bagi memberi peluang rakyat menentukan pilihan mereka secara demokratik.
Beliau menyifatkan hubungan GRS dan BN kini ibarat minyak dan air yang sukar bercampur.Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) Sabah dilihat lebih selesa dengan perkembangan ini, khususnya di kawasan yang tidak melibatkan pertembungan GRS-BN.
Namun, cabaran dijangka berlaku di kawasan yang menyaksikan pertembungan, terutama dalam usaha kedua-dua pihak mendapatkan sokongan pengundi PH.Aksyah dalam kenyataannya menyeru penyokong PH agar terus memilih GRS demi kestabilan politik.
Katanya, kerjasama ikhlas antara GRS dan PH sejak lebih dua tahun lalu telah berjaya membawa pentadbiran yang baik kepada Sabah.
Mengulas lanjut, beliau memetik kenyataan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, yang menyifatkan PRN kali ini sebagai peluang rakyat Sabah mengukuhkan kuasa politik tempatan dan membebaskan diri daripada pengaruh politik ‘seberang’ yang sering menentukan hala tuju negeri.
“Jika rakyat ingin melihat Sabah terus dipimpin dan ditadbir dengan baik menerusi wawasan Sabah Maju Jaya, maka pilih dan undilah GRS,” tegasnya.

