Kudat: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang di muara Sungai Serusup, Tuaran sejak 30 Ogos lalu berakhir apabila mayatnya ditemui terdampar di Pantai Kelambu, Kudat pada petang Jumaat (5 Sept).
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), insiden kehilangan itu bermula apabila mangsa, Husaini Saidin, 34, tidak pulang selepas keluar memukat ikan pada subuh 30 Ogos.
“Usaha awal pencarian dilakukan keluarga bersama penduduk kampung sebelum laporan rasmi dibuat kepada pihak polis dan bomba pada 1 September.
“Sepanjang lima hari operasi SAR, pasukan penyelamat daripada BBP Tuaran bersama Unit PPDA, Unit Dron PDRM dan D’Bayu, serta agensi lain termasuk PDRM dan APM, telah melakukan pencarian di radius 15 kilometer meliputi persisiran pantai Kampung Serusup hingga perairan Lok Senang dan Lok Pisok.
“Manakala pada jam 2.14 petang hari yang sama, BBP Kudat menerima maklumat orang awam mengenai penemuan satu mayat lelaki di kawasan Pantai Kelambu. Pasukan bomba segera ke lokasi sebelum menyerahkan mayat kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kudat, Supt Mohd Haris Ibrahim, dalam kenyataan medianya mengesahkan bahawa siasatan awal mendapati mayat yang sudah beberapa hari meninggal dunia itu tidak mempunyai identiti pengenalan diri ketika ditemui.
Bagaimanapun, hasil pengecaman kemudian mengesahkan bahawa mangsa ialah individu yang dilaporkan hilang di Tuaran.
“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan mayat telah dihantar ke Hospital Kudat untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.10 malam selepas pihak polis mengesahkan identiti mangsa bersama keluarga.

