Site icon TUHAU BAMBANGAN

Hujan lebat, ribut petir di 9 negeri termasuk Sabah

Kota Kinabalu: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan sembilan negeri di Semenanjung, Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan sehingga jam 7 malam ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada jam 4.35 petang, antara negeri yang terlibat di Semenanjung Malaysia ialah Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Antara kawasan yang terkesan termasuklah Kubang Pasu, Kota Setar, Kuala Kangsar, Kinta, Gombak, Hulu Terengganu, Kuantan dan Temerloh.

Di Sarawak, hujan lebat dan ribut petir dijangka berlaku di Kuching, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang.

Bagi Sabah, kawasan terlibat ialah Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Nabawan dan Keningau) serta Pantai Barat (Papar). WP Labuan turut disenaraikan dalam amaran tersebut.

MetMalaysia menjelaskan amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan berintensiti melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku dalam tempoh melebihi sejam.

Amaran ini bersifat jangka pendek dengan tempoh sah tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar berwaspada, mengutamakan keselamatan dan mengelakkan aktiviti luar sepanjang tempoh amaran berkuat kuasa.

Exit mobile version