Kota Kinabalu: Peguam terkenal, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar atau lebih dikenali sebagai ‘Peguam Kotak Pensel’ telah dimasukkan ke hospital selepas dipercayai mengalami serangan jantung.
Perkara itu dimaklumkan sahabatnya, Shamomar Ramli, menerusi satu hantaran di Facebook hari ini yang turut memohon doa orang ramai agar Ahmad Zaharil kembali pulih.
“Mohon rakan-rakan doakan kesihatan Dato’ Zaharil, Peguam Kotak Pensel. Beliau dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung,” tulis Shamomar dalam hantaran tersebut.
Menerusi perkongsian sama, turut dimuat naik foto Ahmad Zaharil yang sedang menerima rawatan di atas katil hospital.
Difahamkan, beliau pernah dikejarkan ke hospital pada awal Januari lalu berikutan masalah kesihatan.
Ahmad Zaharil sebelum ini menjadi perhatian pada tahun 1998 apabila tampil membela seorang wanita miskin yang dituduh mencuri kotak pensel bernilai kira-kira RM18 untuk dijadikan hadiah kepada anaknya yang berjaya meraih tempat pertama di sekolah.
Kisah itu menyentuh hati ramai pihak apabila beliau berjaya mendapatkan hukuman ringan terhadap wanita berkenaan demi masa depan anaknya.
Dua dekad kemudian, pada tahun 2017, Ahmad Zaharil bertemu kembali dengan anak wanita tersebut dalam keadaan yang tidak disangka.
Pemuda itu menegurnya di sebuah kantin dan memperkenalkan diri sebagai anak kepada wanita yang pernah dibela oleh beliau.
Kisah pengorbanan dan keikhlasan Ahmad Zaharil itu pernah dijadikan inspirasi sebuah iklan Hari Raya yang tular di seluruh negara.
Sumber: Facebook Shamomar Ramli

