Site icon TUHAU BAMBANGAN

Inkues Zara: Zara mungkin lompat atau bergayut, bukan ditolak – Dr Jessie

Kota Kinabalu: Pakar patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu menolak kemungkinan bahawa Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir ditolak atau diserang sehingga menyebabkan beliau terjatuh dari tingkat tiga asrama sebelum ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan berkenaan pada awal pagi 16 Julai lalu.

Dalam keterangannya pada hari kedua prosiding inkues kematian Zara di Mahkamah Koroner di sini hari ini, Dr Hiu menegaskan dapatan hasil pemeriksaan lokasi tidak menyokong dakwaan bahawa mangsa terjatuh secara tidak sengaja atau akibat ditolak.

Menjawab soalan Timbalan Ketua Pendakwaan II, Datuk Badiuszaman Ahmad yang mengendalikan prosiding, beliau menjelaskan kedudukan jeriji besi pada dinding koridor asrama terlalu tinggi, sekali gus tidak memungkinkan Zara terjatuh secara tidak sengaja.

“Jika ditolak sekalipun, jeriji berkenaan akan menghalang mangsa daripada terjatuh,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan demonstrasi yang dilakukan semasa pemeriksaan lokasi, kemungkinan besar Zara sama ada berdiri di atas dinding konkrit lalu melompat atau bergayut sambil berpegang pada jeriji besi gantung.

Ketika ditanya sama ada kematian berpunca daripada serangan, Dr Hiu menjawab,

“Berdasarkan pemeriksaan lokasi, tidak ada tanda serangan. Punca kematian adalah akibat jatuh dari tempat tinggi.”

Beliau turut menjelaskan beberapa keping gambar hasil pemeriksaan lokasi, selain menunjukkan cara Zara berkemungkinan jatuh.

Demonstrasi berkenaan dijalankan bersama pegawai perubatan HQE untuk menilai sama ada insiden itu boleh berlaku secara tidak sengaja atau kerana ditolak.

Pemeriksaan lokasi dijalankan pada 2 Ogos dengan bantuan pegawai perubatan HQE, tiga anggota polis serta beberapa kakitangan sekolah.

Dalam keterangannya, Dr Hiu juga menunjukkan kemungkinan Zara mendarat dengan kaki terlebih dahulu sebelum rebah ke belakang dalam keadaan terbaring dengan wajah menghadap ke atas.

Sumber: New Straits Times

Exit mobile version