Site icon TUHAU BAMBANGAN

Inkues Zara: Mesin basuh domestik tidak boleh hidup dengan berat beban 53kg – Dr Jessie

Kota Kinabalu: Mesin basuh domestik tidak boleh hidup dengan berat beban 53kg – Dr JessKota Kinabalu: Prosiding hari kedua inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir hari ini mendedahkan penjelasan pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu, yang menolak dakwaan kononnya mangsa boleh dimasukkan ke dalam sebuah mesin basuh di asrama tempat kejadian.

Dr Jessie ketika memberi keterangan di hadapan Koroner, Hakim Amir Shah Amir Hassan berkata, mesin basuh berkenaan adalah jenis domestik, bukan industri, justeru kapasiti dan kekuatannya amat terbatas.

“Memang ada sebuah mesin basuh di lokasi, tetapi saya tidak memeriksa saiz tongnya. Bagaimanapun, saya dimaklumkan berat badan si mati ialah 53 kilogram. 

“Saya percaya mesin basuh domestik tidak akan boleh berfungsi jika dimasukkan isi seberat itu,” jelasnya.

Beliau menegaskan, dakwaan bahawa Zara Qairina dimasukkan ke dalam mesin basuh tidak masuk akal kerana secara teknikal, mesin berkenaan tidak mampu dihidupkan dengan beban sebesar itu.

Keterangan tersebut sekaligus menepis spekulasi yang tular di media sosial sejak tragedi kematian remaja berusia 13 tahun itu, yang kesnya mendapat perhatian meluas di seluruh Sabah.

Prosiding inkues yang dijadual berlangsung selama 19 hari akan memanggil lebih kurang 68 saksi termasuk pegawai polis, pakar perubatan dan pihak berkepentingan lain bagi membantu mahkamah menentukan punca sebenar kematian arwah.

Exit mobile version