Site icon TUHAU BAMBANGAN

Nizam nafi fitnah WhatsApp, dedah pengakuan pemimpin Warisan ia tidak benar

KOTA KINABALU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menafikan sekeras-kerasnya penyebaran tangkap layar perbualan WhatsApp yang tular kononnya melibatkan beliau bersama beberapa individu.

Menurutnya, fitnah berkenaan merupakan rekaan semata-mata yang sengaja direka untuk menjatuhkan reputasi peribadi serta mencemar imej parti.

“Saya sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu petang ini berhubung penyebaran fitnah jelik tersebut. Individu sama juga sebelum ini pernah menularkan isu serupa melibatkan ADUN Kunak, Datuk Norazlinah Arif,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Nizam turut memaklumkan bahawa beliau telah mengarahkan peguamnya untuk mengeluarkan Notis Tuntutan (Letter of Demand, LOD) terhadap individu yang dikenali sebagai Tandiko Dalusin atau Atan, pemilik akaun Facebook “Huzaifah Al-Likasi”, yang didakwa menjadi dalang utama penyebaran tangkap layar berkenaan.

Menariknya, kata beliau, dalam satu siaran langsung tengah hari tadi, Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman, mengakui sendiri bahawa tangkap layar WhatsApp tersebut adalah palsu.

Azis dilaporkan berkata:

“When there’s action, there will always be a reaction, bila kau buat, orang akan membalas. Even yang si Atan kasi tunjuk ni pun, ini pun saya tahu ini tidak betul juga. Cuma mungkin disebarkan oleh apabila ada orang buat dan dorang kasi tunjuk bahawa apa yang dorang buat tu semua orang boleh buat, maka dibuatlah la ini.”

Nizam menegaskan kenyataan tersebut membuktikan fitnah itu tidak berasas dan sengaja direka untuk mencetuskan kekeliruan.

“Politik seharusnya berlandaskan hujah, fakta dan idea – bukan fitnah serta manipulasi. Penyebaran fitnah sebegini mencemarkan nama baik saya, imej parti, dan berpotensi menimbulkan keresahan awam, lebih-lebih lagi apabila melibatkan isu sensitif seperti Justice for Zara,” katanya.

Beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan segera terhadap pihak terlibat.

Dalam masa sama, beliau turut mengulas mengenai himpunan Justice for Zara Qairina yang berlangsung di Tawau pada 31 Ogos lalu. Menurutnya, beliau menghormati hak masyarakat untuk menyuarakan keprihatinan, namun mengingatkan agar himpunan itu tidak dicemari dengan ucapan atau tindakan melampaui batas undang-undang.

“Pihak polis sudah mengambil tindakan terhadap insiden ucapan berunsur hasutan yang dilaporkan semasa perhimpunan tersebut dan kita menghormati proses undang-undang. Apa yang lebih penting kini adalah memastikan fokus masyarakat tidak teralih daripada matlamat sebenar: mencari kebenaran, keadilan dan penyelesaian jangka panjang demi keselamatan pelajar kita,” tegasnya

Exit mobile version